Monday, June 21, 2010

Amalan Sunat Dalam Bulan-Bulan Islam

BULAN MUHARRAM

* Tanggal 1-9hb disunatkan berpuasa (puasa Tasua')
* Tanggal 10hb disunatkan berpuasa (puasa Asyura)
* Dalam bulan ini disunatkan agar memperbanyakkan amalan bersedekah kepada fakir miskin
* Disunatkan supaya melebihkan perbelanjaan dalam keluarga
* Mengusap kepada anak yatim dan menaruh perasaan belas kasihan terhadap mereka
* Memperbanyakkan bacaan zikir dan selawat
* Sesiapa yang berbuat baik kepada anak yatim seolah-olah ia telah berbuat baik kepada semua anak-anak yatim.
* Sesiapa yang bersedekah pada hari itu maka seolah-olah ia tidak pernah menolak permintaan orang yang meminta-minta selama hidupnya

BULAN SAFAR
BULAN RABIUL AWWAL
BULAN RABIUL AKHIR
BULAN JAMADIL AWWAL
BULAN JAMADIL AKHIR

Tiada amalan sunat yang khusus atau istimewa dalam bulan ini melainkan amalan sunat dan fardhu seperti biasa.

REJAB

Bersabda Rasulullah saw maksudnya " Rejab adalah bulan Allah, Sya'ban adalah bulanku dan Ramadhan adalah bulan umatku." Sesiapa yang berpuasa dalam bulan ini dengan penuh ikhlas semata-mata mengharapkan rahmat dari Allah maka ia layak mendapat ganjaran dari Allah seperti yang telah disabdakan oleh Rasulullah saw maksudnya,

* Sesiapa yang berpuasa sehari maka ia akan mendapat keredhaan Allah
* Sesiapa yang berpuasa 2 hari maka ia akan mendapat kemuliaan yang besar dari Allah
* Sesiapa yang berpuasa 3 hari maka ia akan dijauhkan dari Allaj dari dugaan dunia, deselamatkan dari penyakit yang berbahaya dan diselamatkan dari disiksa diakhirat dan fitnah dajjal
* Sesiapa yang berpuasa 7 hari maka akan dikunci oleh Allah 7 pintu neraka jahannam baginya
* Sesiapa yang berpuasa 8 hari maka akan dibuka oleh Allah 8 pintu syurga baginya
* Sesiapa yang berpuasa 10 hari maka akan dieprkenankan oleh Allah hayat dan permintaannya
* Sesiapa yang berpuasa 15 hari maka Allah akan menambahkan pula pahala amalannya berlipat kali ganda
* Orang yang berpuasa di bulan Rejab kelak di Syurga diberi minum air sungai yang bernama Rejab yang airnya lebih putih dari susu, lebih manis dari manisan dan lebih dingin dari salji
* Dalam bulan lain setiap amalan akan digandakan Allah 10 kebajikan, tetapi pada bulan Rejab akan digandakan sebanyak 70 kebajikan.
* Digalakkan mendengar kisah dan peristiwa yang berlaku dalam bulan Rejab seperti Isra' Mikraj Rasulullah saw.


BULAN SYAABAN

Syaaban adalah bulan Rasulullah saw. Bersabda yang maksudnya " Dinamakan dengan syaaban (berserak-serak) itu adalah kerana di dalamnya terdapat banyak kebajikan yang berserak-serak.

* Setiap amalam kebajikan akan digandakan oleh Allah dengan 700 kali ganda
* Allah akan menurunkan rahmatNya serta memberikan pengampunan umum kepada hambanya.
* Sesiapa yang berpuasa 3 hari di awal, pertengahan dan di akhirnya maka Allah akan menuliskan baginya pahala 70 orang nabi, pahala beribadat selama 70 tahun.
* Kelebihan malam nisfu Syaaban pula ialah sesiapa yang mendirikan solat sunat sunat dan menghidupkan malam itu dengan banyak berdoa, berzikir, berselawat, bertasbih, membaca al Quran dan sebagainya maka Allah akan membukakan untuknya 300 pintu rahmat disamping doanya tidak akan ditolak.
* Orang-orang yang tidak diampunkan oleh Allah pada malam nisfu syaaban ialah mereka yang menyekutukan Allah dengan sesuatu, tukang sihir, tukang nujum, mereka yang suka bermusuhan, peminum arak, penzina, pemakan riba, derhaka terhadap kedua ibu bapa, pembuat fitnah dan mereka yang memutuskan tali silaturrahim.


BULAN RAMADHAN

Ramadhan adalah bulan umat Muhammad saw. Bersabda baginda yang bermaksud " Apabila tiba bulan Ramadhan maka akan dibukakan pintu-pintu syurga dan ditutupkan pintu-pintu neraka lalu diikatkan semua syaitan."

Sabda baginda dalam hadis yang lain, " Jika umat manusia itu mengetahui kelebihan yang terdapat di dalam bulan ramadhan nescaya umatku akan menginginkan supaya dijadikan sepanjang tahun itu Ramadhan"

* Setiap amalan kebajikan akan digandakan oleh Allah sebanyak 1000 kali ganda
* Setiap amalan sunat akan diberikan ganjaran pahala amalan fardhu
* Ramadhan dibahagikan kepada tiga bahagian istimewa bagi mereka yang berpuasa iaitu bahagian pertamanya dipenuhi dengan rahmat Allah, bahagian kedua dipenuhi dengan keampunan dari Allah dan bahagian ketiga pembebasan dari api neraka
* Dituntut supaya mengerjakan solat sunat tarawikh, witir dan solat sunat yang lain.
* Banyakkan berdoa, berzikirz selawat, membaca Al Quran, bertaubat dan lain-lain
* Banyakkan bersedekah kepada fakir miskin dan membantu mereka yang berada di dalam kesusahan dan ditimpa kemalangan.
* Memberi makan kepada mereka yang hendak berbuka puasa.
* Menggandakan amalan sunat terutamanya pada 10 malam yang terakhir Ramadhan bagi mengharapkan keberkatan dan kebesaran malam Lailatul Qadar seperti beriktikaf di masjid, qiamullail dan sebagainya


BULAN SYAWAL

Amalan sunat di bulan Syawal :

Amalan sunat pada 1 Syawal seperti :

a) Membayar zakat fitrah sebelum menunaikan Solat Aidil Fitri
b) Menghias diri dan tempat tinggal supaya kelihatan bersih dan cantik
c) Mandi Sunat Aidilfitri pada pagi harinya
d) Menjamah sedikit makanan sebelum keluar menuju masjid
e) Keluar menuju ke masjid dengan satu jalan dan bila pulang menggunakan jalan yang lain
f) Lebih afdal dengan berjalan kaki ke masjid
g) Mengumandangkan takbir, tahmid dan tahlil bermula malam 1 Syawal hinggalah tersenam matahari pada hari raya tersebut.

Berpuasa 6 hari dalam bulan Syawal (Sunat Syawal) Rasulullah saw bersabda yang maksudnya " Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadhan dan kemudian diikuti dengan 6 hari dibulan Syawal maka perumpamaannya seperti ia berpuasa sepanjang tahun."

BULAN ZULKAEDAH

Tiada amalan sunat yang khusus atau istimewa dalam bulan ini melainkan amalan sunat dan fardhu seperti biasa.

BULAN ZULHIJJAH

Dari sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Abbas r.a, Rasullullah s.a.w telah menerangkan tentang fadilat di bulan Zulhijjah iaitu :

Tanggal 1 Zulhijjah kesalahan Nabi Adam as telah diampunkan Allah. Oleh itu sesiapa yang berpuasa pada hari itu dosanya akan diampunkan oleh Allah

Tanggal 2 Zulhijjah doa nabi Yunus as diperkenankan Allah. Oleh itu sesiapa yang berpuasa pada hari itu seperti berpuasa setahun dan dicatitkan baginya seperti tidak pernah melakukan maksiat.

Tanggal 3 Zulhijjah doa nabi Zakaria telah diperkenankan oleh Allah.
Oleh itu sesiapa yang berpuasa pada hari itu doanya juga akan diperkenankan oleh Allah

Tanggal 4 Zulhijjah Nabi Isa dilahirkan. Oleh itu sesiapa yang berpuasa pada hari itu akan terhindar dari kefakiran dan kemelaratan.

Tanggal 5 Zulhijjah Nabi Musa as dilahirkan. Oleh itu sesiapa yang berpuasa pada hari itu akan terlepas ia dari sifat munafik dan siksa kubur

Tanggal 6 Zulhijjah allah telah membukakan pintu-pintu kebajikan kepada nabi-nabiNya. Oleh itu sesiapa yang berpuasa pada hari itu akan dipandang oleh Allah dengan pandangan rahmat

Tanggal 7 Zulhijjah pintu neraka Jahannam akan dikunci. Oleh itu sesiapa yang berpuasa pada hari itu akan dibukakan 30 pintu kemudahan dan dikunci 30 pintu kesulitannya

Tanggal 8 Zulhijjah Nabi Ibrahim telah mendapat perintah supaya menyembelih anaknya Ismail. Seharian ia berfikir sama ada perintah itu daripada Allah atau dari Syaitan.Hari itu dinamakan hari Tarwiyah (hari berfikir). Sesiapa yang berpuasa hari tersebut akan diberikan pahala yang banyak oleh Allah

Tanggal 9 Zulhijjah Allah telah memberitahu kepada Nabi Ibrahim bahawa mimpinya itu adalah benar dari Allah, bukan dari syaitan. Oleh itu, hari tersebut terlah dikenali sebagai 'Arafah' (Hari ketahui).

Sunat bersedekah kepada fakir miskin. Sesiapa yang bersedekah pada hari tersebut akan dibangkitkan oleh Allah pada hari kiamat nanti dalam keadaan aman dan sentosa.
Amalan sunat pada 10 Zulhijjah seperti :

a) Mandi sunat Aidil Adha pada pagi harinya.
b) Sunat tidak menjamah makanan atau minuman sehinggalah selesai menunaikan solat Adha
c) Keluar menuju ke masjid dengan satu jalan dan bila pulang menggunakan jalan yang lain
d) Lebih afdal dengan berjalan kaki ke masjid
e) Mengumandangkan takbir, tahmid dan tahlil bermula malam 10 Zulhijjah hinggalah tersenam matahari pada tanggal 13 Zulhijjah (Takbir Muqayyad)

Sunat membaca doa akhir tahun pada tanggal 29 atau 30 Zulhijjah selepas solat Asar dan membaca doa awal tahun selepas solat Magrib pada malam pertama awal Muharram.




Sunday, June 20, 2010

Hukum Berjabat Tangan

Berjabat tangan adalah amalan harian dalam kehidupan seharian kita, namun, adakah kita benar-benar tahu hukum amalan tersebut atau sekadar adat yang kita warisi turun-temurun?

Kita akan membahagikan pembahasan ini kepada beberapa bahagian:

1. Hukum berjabat tangan/bersalam
2. Hukum mencium tangan
3. Hukum membongkokkan badan
4. Hukum bersujud kepada selain Allah
5. Rumusan


1. Hukum berjabat tangan/bersalam

Rasulullah s.a.w. bersabda:
Abu Qatadah berkata, aku bertanya kepada Anas r.a.: "Apakah para sahabat Rasulullah s.a.w. dahulu saling berjabat tangan" Dia menjawab: "Ya." (HR Bukhari)

Dari al-Barraa' bin Azib r.a., katanya telah sabda Rasulullah s.a.w.:
"Tidaklah dua orang Islam bertemu lalu saling bersalaman/berjabat tangan, melainkan diampuni dosa keduanya sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud, al-Tarmizi & Ibnu Majah)

Dari Athaa' bin Abdullah al-Khurasani, katanya Nabi s.a.w. telah bersaba:
"Hendaklah kamu saling berjabat tangan, nescaya hilanglah rasa dengki. Hendaklah kamu saling memberi hadiah, nescaya kamu saling mencintai dan hilanglah permusuhan." (Hadis Mursal riwayat Imam Malik)

Dari al-Barra"bin al-Azib r.a., katanya, telah bersabda Rasulullah s.a.w.:
"Sesungguhnya jika dua orang Islam bertemu, lalu saling berjabat tangan, saling mengasihi dan saling menasihati, nescaya bertebaranlah dosa-dosa yang ada pada kedua orang itu."? (HR Ibnu Sunni)

Hadis di atas adalah di antara hadis yang menunjukkan bahawa berjabat tangan ketika bertemu adalah sunat hukumnya.

2. Hukum mencium tangan

Al-Nawawi mengatakan bahawa dianjurkan agar mencium tangan orang yang kemuliaannya disebabkan oleh perkara yang bersangkut paut dengan agama. Seperti seorang yang zuhud, alim/ulamak, salih, warak dan sebagainya. Ini termasuklah kedua ibubapa kita yang muslim.

Dimakruhkah mencium tangan seseorang yang dipandang mulia dengan sebab-sebab keduniaan, seperti orang kaya, orang yang berpangkat, berkedudukan tinggi dan sebagainya. Perbuatan ini amat tidak disukai.

Dari Zari' r.a., yang termasuk di dalam rombongan Abdul Qais, dia
berkata: "Kamipun berlumba-lumba turun dari kenderaan kami, lalu kami mencium tangan dan kaki Nabi s.a.w."

3. Hukum membongkokkan badan

Adalah dimakruhkan membongkokkan badan kerana mahu menghormati seseorang.

Dari Anas r.a., katanya: Seorang lelaki bertanya: Wahai Rasulullah s.a.w., jika seseorang dari kita bertemu saudaranya atau temannya, apakah dia perlu membungkuk kepadanya? Baginda menjawab: "Tidak." Orang itu bertanya: "Apakah dia perlu memeluk dan menciumnya?" Baginda menjawab "Tidak." Orang itu bertanya: "Apakah perlu dia memegang tangannya dan bersalam dengannya?" Baginda menjawa: "Ya." (HR al-Tarmizi)

Hadis di atas bermaksud:

1. Makruh membungkukkan badan kepada seseorang.
2. Makruh memeluk dan mencium seseorang kecuali jika kembali dari permusafiran.
3. Sunat berjabat tangan ketika bertemu.

Kita sering melihat mereka yang berada di atas pentas kerana berucap atau membuat persembahan. Sebelum atau selepas berucap atau membuat persembahan, mereka akan menundukkan badan sebagai tanda hormat kepada para hadirin. Perbuatan ini adalah dimakruhkan.

4. Hukum bersujud kepada selain Allah

Umat Islam dilarang bersujud kepada selain dari Allah, samada ia berbentuk peribadatan atau penghormatan sahaja.

Jika ditanya, bagaimana dengan sujud para malaikat kepada Adam? Bukankah itu sujud dari makhluk kepada makhluk?

Jawab: Sujud yang dilakukan oleh para malaika kepada Adam bukanlah sujud yang berbentuk penyembahan (ibadah), tetapi sebagai penghormatan.
Perkara ini disepakati oleh para ahli tafsir.

Lagi pula sujud malaikat kepada Adam adalah atas titah perintah Allah yang wajib dipatuhi.

Sehingga kita sendiripun, jika seandainya Allah memerintahkan kita agar sujud kepada seseorang, kita wajib mematuhinya. Jika perintah sujud itu diperintahkan oleh selain Allah, maka haram melakukan.

Sabda Rasulullah s.a.w.:
"Seandainya aku diperintahkan agar seseorang itu boleh sujud kepada seseorang lain, nescaya aku akan memerintahkan perempuan sujud kepada suaminya." (HR al-tarmizi)

Hadis di atas menunjukkan:

1. Larangan bersujud kepada selain dari Allah, kerana tiada arahan berbuat demikian.
2. Suami wajib ditaati dan dipatuhi oleh si isteri.

Ahli tasir mengatakan ada bebepa kemungkinan di dalam masalah sujud malaikat kepada Adam:

1. Malaikat benar-benar sujud kepada Adam dengan meletakkan dahinya ke tanah. Bukan sebagai penyembahan tetapi sebagai penghormatan serta melaksanakan perintah Allah.
2. Boleh jadi juga para malaikat itu pada hakikatnya bersujud kepada Allah, tetapi dengan menjadikan Adam sebagai kiblatnya. Ini sebagaimana kita diperintahkan bersujud kepada Allah dengan menjadikan ka'bah sebagai arah kiblah kita.
3. Ada juga yang mengatakan bahawa sujud malaikat kepada Adam bukanlah sujud dalam ertikata bersujud yang sebenarnya. Tetapi ia berbentuk sujud maknawi, iaitu dengan berikrar dan mengiktiraf kelebihan Adam.

Perlakuan sujud kerana menghormati (bukan penyembahan/ ibadah) memang berlaku pada umat zaman dahulu. Termasuk pada zaman Ya'qub dan Yusof, firman Allah Taala menceritakan mengenai Yusof a.s.:

"Dan ia dudukkan kedua ibu bapanya (bersama-samanya) di atas kerusi kebesaran. Dan setelah itu mereka semuanya tunduk memberi hormat kepada
Yusuf"(Yusof: 100)

Tradisi bersujud kerana hormat ini berlaku hinggalah berakhir pada zaman Rasulullah s.a.w. Umat Muhamad di larang bersujud kepada selain dari Allah.

Ketika para sahabat melihat pokok dan unta bersujud kepada Rasulullah s.a.w., mereka berkata: "Kami adalah lebih patut bersujud kepadamu."Rasululla h s.a.w. bersabda: "Tidak sepatutnya seseorang itu bersujud kepada selain dari Allah Tuhan seru sekelian alam."

Perkara ini juga pernah terjadi kepada Mu'az bin Jabal yang baru sampai dari Syam, lalu bersujud kepada Rasulullah s.a.w. Baginda bersabda: "Apa ini"? Mu'az menjawab: "Wahai Rasulullah s.a.w., aku baru datang dari Syam, aku pernah melihat mereka (penduduk Syam) bersujud kepada pembesar dan pendeta mereka. Aku ingin melakukan itu terhadapmu."

Baginda bersabda: "Jangan lakukan. Jika aku diperintahkan sesuatu itu boleh bersujud kepada sesuatu, nescaya aku akan memerintahkan agar wanita bersujud kepada suaminya" (HR Ibnu Majah)

Oleh itu, bersujud kepada selain dari Allah adalah haram hukumnya. Tidak kira samada sujud itu kerana penyembahan atau hanya semata-mata penghormatan.

Rumusan

1. Berjabat tangan adalah sunat.
2. Mencium tangan adalah dianjurkan kepada mereka yang dimuliakan dari segi keagamaan. Dimakruhkan jika kemuliaan itu dari segi keduniaan.
3. Membongkokkan badan kerana menghormati seseorang adalah makruh.
4. Bersujud kepada selain dari Allah adalah haram.
5. Apabila kita berjabat tangan dengan ibu atau bapa kita, kita terpaksa membongkokkan badan kerana mahu mencium tangannya. Kita membongkokkan badan bukan atas tujuan menghormatinya. Hal ini dibolehkan, cuma tidak boleh berlebih-lebihan.