Sunday, June 6, 2010

Dosa Mengumpat

Alah biasa tegal biasa.....begitulah umpama perbuatan mengumpat di kalangan kita. Yang menariknya, ia lebih dikenali dengan panggilan 'ber-gossip'. Bergosip saja bukan mengumpat.... Apa bezanya?



Mengumpat adalah apabila menceritakan atau menyebut tentang keburukan atau kekurangan orang lain kepada seseorang yang lain.



Rasulullah S.A. W. bersabda yang bermaksud "Mengumpat itu ialah apabila kamu menyebut perihal saudaramu dengan sesuatu perkara yang dibencinya" (Hadis Riwayat Muslim)Mengumpat berlaku sama ada disedari atau tidak. Perbuatan itu termasuk apabila menyebut atau menceritakan keburukan biarpun tanpa menyebut nama pelakunya tetapi diketahui oleh orang yang mendengarnya.Memandangkan betapa buruk dan hinanya mengumpat, ia Disamakan seperti memakan daging saudara seagama.



Dosa mengumpat bukan saja besar, malah antara dosa yang tidak akan diampunkan oleh Allah biarpun pelakunya benar-benar bertaubat.Dosa mengumpat hanya layak diampunkan oleh orang yang diumpatkan.Selagi orang yang diumpatnya tidak mengampunkan, maka dosa itu akan kekal dan menerima pembalasannya diakhirat.



Sabda Rasullullah yang bermaksud "Awaslah daripada mengumpat kerana mengumpat itu lebih berdosa daripada zina. Sesungguhnya orang melakukan zina, apabila dia bertaubat, Allah akan menerima taubatnya."Dan sesungguhnya orang yang melakukan umpat tidak akan diampunkan dosanya sebelum diampun oleh orang yang diumpat" (Hadis riwayat Ibnu Abib Dunya dan Ibnu Hibbad).



Bagi orang yang beriman, seharusnya kita berusaha untuk tidak melakukan dosa mengumpat dan sesungguhnya berdiam diri itu lebih mulia daripada percakapan yang sia-sia.



Rasullullah juga ada bersabda yang bermaksud: "wahai orang beriman dengan lidahnya tetapi belum beriman dengan hatinya! Janganlah kamu mengumpat kaum muslim, dan jangan lah kamu mengintip-intip keaibannya. Sesungguhnya, sesiapa yang mengintip keaiban saudaranya, maka Allah akan mengintip keaibannya,dan dia akan mendedahkannya, meskipun dia berada dalam rumahnya sendiri" (Hadis riwayat Abu Daud).



Di akhirat nanti, orang yang banyak dosanya kerana mengumpat akan dihumban ke dalam neraka dimana keadaannya sama seperti ranting kering yang terbakar. Setiap pahala yang ada padanya akan dihadiahkan kepada orang pernah diumpatnya semasa di dunia. Manakala, dosa orang yang diumpat pula akan dipindahkan kepada orang yang mengumpat. Keadaan inilah yang dinamakan orang muflis di akhirat nanti.



Cerminkanlah dimana kesilapan kita selama ini. Seandainya ada yang ter-mengumpat, minta maaf kepada orang tersebut, mudah-mudahan dosa kita diampunkan Allah....dan sesungguhnya, Allah itu Maka Pemgampun lagi Maha Pengasih. Selagi kita di dalam rahmat dan kasih-sayang Allah, Insya-Allah.....masih ada ruang untuk kita memperbaiki diri dari kelalaian duniawi.